Close

blog

Cikgu Tuisyen Di Rumah – Kenapa semakin popular?

22 September 2013

Oleh: Ahmad Hambal Noorsham

Di seluruh dunia, trend mengambil cikgu tuisyen yang datang ke rumah atau home tuisyen semakin meningkat. Di United Kingdom, peningkatan ibubapa yang mengambil guru tuisyen di rumah adalah sebanyak 18% kepada 24% tahun ini (rujuk artikel ini). Di Singapura, ibubapa membelanjakan $820 juta setahun untuk tuisyen, dimana hampir separuhnya untuk tuisyen di rumah (rujuk di sini ). Di Korea Selatan perbelanjaan untuk tuisyen persendirian atau ‘private tutoring’ dijangka akan mencecah $13.9 billion menjelang akhir 2012 yang lepas. (Artikel di sini)

Apakah factor-faktor yang menyebabkan peningkatan ini? Ada 3 sebab utama mengapa cikgu tuisyen di rumah semakin menjadi pilihan ibubapa dan pelajar:

1. Peningkatan bilangan pelajar menyebabkan persaingan semakin kompetitif

perlukan cikgu tuisyen

Disebabkan pertambahan graduan, saingan mendapatkan pekerjaan adalah semakin tinggi. Graduan perlu mendapatkan keputusan yang bagus untuk diterima oleh syarikat-syarikat besar yang memandang kelulusan mereka disamping kemahiran mereka. Bagi pelajar-pelajar sekolah menengah pula, keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan membolehkan mereka mengambil jurusan yang mereka inginkan di IPTA dan IPTS. Pada masa yang sama ia membolehkan mereka mendapat tajaan biasiswa atau pinjaman dari badan-badan kerajaan atau swasta untuk melanjutkan pelajaran di dalam atau luar negara. Namun kesemua peluang di atas adalah terhad bergantung kepada tempat yang dapat diberikan oleh setiap organisasi. Maka hanya individu yang mencapai keputusan cemerlang sahaja yang akan diambil. Atas sebab ini, ibubapa mula mengambil tutor persendirian bagi memberikan bantuan tambahan secara individu terhadap anak-anak mereka. Ini bagi mempersiapkan mereka untuk menghadapi peperiksaan penting seperti SPM, IGCSE, A-Levels, International Baccalaureate dan sebagainya. Bantuan secara individu ini jarang dapat diberikan oleh cikgu-cikgu pelajar ini di sekolah disebabkan bilangan pelajar yang ramai untuk sesuatu kelas.

2. Sesetengah pelajar memang perlukan bantuan secara individu.

Guru tuisyen

Tidak semua pelajar mempunyai kemampuan belajar, pemahaman dan kepandaian yang sama. Sesetengah pelajar mengambil masa yang agak lama untuk memahami apa yang dibelajar di sekolah ( Pelajar-pelajar seperti ini juga dikenali sebagai ‘slow learner’). Kebanyakan guru di sekolah perlu menghabiskan silibus dengan cepat menyebabkan ada pelajar yang ketinggalan akibat tidak faham atau cikgu mengajar terlalu laju. Penyelesaian ibubapa ialah dengan mengambil tutor yang merupakan pakar bagi sesuatu subjek bagi membolehkan anak mereka mempelajari semula bahagian yang mereka ketinggalan. Sebab-sebab lain perlunya pelajar kepada guru tuisyen di rumah adalah seperti pelajar ketinggalan kerana baru berpindah ke sekolah baru, pelajar tidak dapat menhadiri kelas kerana sakit atau sebab-sebab lain, pelajar bertukar aliran, subjek tidak di ajar di sekolah atau pelajar yang telah tamat bersekolah tetapi mahu menduduki semula peperiksaan besar seperti SPM. Tutor persendirian juga diperlukan oleh golongan dewasa berkerja yang mahu belajar kemahiran seperti bahasa kedua (Bahasa Inggeris, Mandarin) , kemahiran berkaitan pekerjaan mereka seperti ACCA, Microsoft Office atau AutoCAD, atau lain-lain subjek sama ada ianya akademik atau tidak. Golongan dewasa ini tidak mempunyai masa untuk menghadiri kelas disebabkan tugasan mereka.  Mengambil tutor di rumah yang mempunyai masa fleksibel adalah langkah yang sangat bersesuaian dengan kehendak golongan yang bekerja ini.

3.  Cikgu tuisyen melengkapkan tugas guru di sekolah.

tuisyen di rumah

Tugas utama guru di sekolah ialah untuk mengajar sesuatu ilmu atau subjek yang baru, dan menjalankan aktiviti pembelajaran yang lain seperti mengendalikan eksperimen dan sebagainya. Namun ianya tidak mencukupi kerana sesetengah pelajar perlukan bantuan tambahan seperti cara menjawab soalan dalam peperiksaan atau berbincang tentang kesalahan dalam menjawab soalan. Disinilah fungsi guru tuisyen sebagai pelengkap. Peranan cikgu tuisyen adalah khusus dalam membantu pelajar menjawab soalan-soalan, menerangkan mengapa pelajar mendapat jawapan salah, atau menerangkan semula bahagian yang pelajar tidak faham. Cikgu tuisyen persendirian juga membantu dari segi lain seperti memberikan motivasi, memberikan bimbingan sahsiah atau membimbing pelajar dari segi cara belajar atau merancang waktu belajar. Segelintir ahli masyarakat gemar menyalahkan guru-guru sekolah apabila berlaku penurunan prestasi pelajar dalam pelajaran. Guru sekolah dikatakan tidak pandai mengajar atau tidak berusaha membantu pelajar secara individu. Hakikatnya guru-guru mempunyai banyak tugasan lain seperti menanda kertas, bermesyuarat, menyediakan bahan pembelajaran, memasukkan markah murid ke dalam sistem dan lain-lain. Pada masa yang sama, sebahagian besar guru-guru sekolah mempunyai peranan yang lain selain mengajar. Antaranya, mereka juga merupakan seorang warden, guru disiplin, jurulatih sukan, guru kelab, guru badan beruniform dan sebagainya. Guru-guru di sekolah hanya mempunyai sedikit masa untuk membantu pelajar secara individu, atau mengajar semula topik yang telah diajar didalam kelas kepada pelajar-pelajar yang tidak faham. Oleh itu, cikgu tuisyen bertindak sebagai pelengkap dengan membantu pelajar memahami lebih mendalam apa yang dibelajar di sekolah.

Negara-negara seperti Amerika Syarikat, Singapura dan Afrika Selatan telah mengenalpasti fungsi tuisyen yang merupakan pelengkap kepada pembelajaran di sekolah. Mereka memahami yang guru tuisyen bertindak memenuhi keperluan pelajar dan menyumbang kepada pembangunan kapital manusia (human capital). Ini dapat dilihat dengan bantuan yang diberikan kerajaan mereka kepada cikgu tuisyen seperti pemberian subsidi, latihan kepada guru tuisyen serta pengurangan cukai. (Artikel di sini). Diharapkan kerajaan kita dapat mengenalpasti dan menghargai peranan cikgu-cikgu tusyen dan memberikan mereka lebih banyak bantuan. Secara tidak langsung, ianya dapat menyumbang kepada kebaikan dan kemajuan pelajar-pelajar hari ini yang akan menjadi peneraju negara pada masa hadapan.

 

blog.tags20 : 
KOMEN (0)